Saturday, May 23, 2015



Kuih Seri Muka Istimewa Azie Kitchen
Sumber: Azie Kitchen
Loyang 11” x 11”
Lapisan Bawah:
3 ½ cawan beras pulut rendam 1-2 jam - guna 2 1/2 cawan
3 cawan santan – dari 1 biji kelapa - guna 2 cawan
1 sudu kecil garam
Satukan kesemua bahan dan masukkan ke dalam loyang. Kukus di dalam periuk pengukus yang telah mendidih airnya sehingga masak. Angkat dan ditekan tekankan sedikit sehingga mampat. Boleh juga guna loyang yang lain.
Lapisan Atas:
4 cawan santan pekat – dari 2 biji kelapa dikisar dengan air daun pandan
2 cawan gula pasir
4 biji telur – saiz B/saiz C - guna B yang kecil
1 cawan tepung gandum - bagi penuh dan padat
1 sudu kecil garam
Kisar daun pandan dan tapis airnya. Masukkan air daun pandan ke dalam kelapa parut dan blend untuk mendapatkan jumlah santan yang diperlukan.
Telur dan gula dipukul seketika agak agak gula hancur sedikit. Tak perlu hancur betul betul pun. Masukkan 2 cawan santan terlebih dulu, pukul lagi sekejap.
Masukkan tepung dan kacau rata sebelum masukkan baki santan. Jangan terlebih pukul untuk menghasilkan permukaan kuih yang rata.
Masukkan loyang lapisan bawah ke dalam pengukus dan kukus sehingga panas, baru ditapis adunan ke atasnya dengan perlahan lahan di sekeliling loyang. Saya masakkan seketika lapisan atas, agak agak ianya keluar wap sahaja sebab pengukus saya banyak mengeluarkan wap.
Kukus selama 45 minit sehingga 1 jam atau sehingga masak. Mula mula kukus dengan api kuat dalam 10 minit. Bila nampak permukaan menggelembung, buka penutup dulu sehingga dah turun, baru tutup semula. Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak.
Setelah betul betul sejuk, baru dipotong dengan pisau bersaiz kecil.
Nota:
Jika suka boleh juga dimasak lapisan atas di dalam kuali dalam 2-3 minit sehingga keluar wap sahaja. Jangan terlebih kerana dikuatiri lapisan atas tak melekat dengan lapisan bawah. Boleh juga dicakarkan bahagian atas pulut dengan garfu sebelum dituang lapisan atas.
Tip Mengukus:
Balut penutup pengukus dengan tuala atau kain tebal untuk mengelakkan air menitis di atas permukaan kuih. Pastikan penutup pengukus bertutup rapat.
Tips memotong:
Biarkan kuih sejuk dalam 2-3 jam sebelum dipotong.
Celupkan pisau ke dalam air panas dan potong. Sekiranya ada pulut melekat di pisau, bersihkan dulu. Celup pisau ke dalam air dan ulanglah sehingga selesai.

No comments:

Post a Comment